Tuesday, November 11, 2008

Pergerakan Wanita UMNO

EXCO Wanita UMNO memutuskan untuk mengekalkan pelan peralihan kuasa pada Jun 2009. Antara alasan ketuanya adalah demi memastikan tidak ada perpecahan di dalam pergerakan tersebut disamping mengukuhkan lagi UMNO.
Saya berpendapat, keputusan pencalonan dari peringkat bahagian yang tamat minggu lalu adalah mencerminkan tidak ada perpecahan yang akan berlaku sekiranya peralihan kuasa dibuat pada Mac 2009. Cukuplah untuk Tan Seri Rafidah berkhidmat sebagai ketua. Sekiranya Tan Seri menarik diri dan membenarkan Datuk Seri Shahrizat menang tanpa bertanding, maka jawatan Naib Ketua juga tidak dipertandingkan apabila Datuk Kamilia Ibrahim pula menang tanpa bertanding. Ini juga dapat mengelakkan perpecahan selepas pertandingan.
Apa gunanya memenangi jawatan ketua pada bulan Mac 2009 dan selepas tiga bulan melepaskannya? Berfikirlah secara matang wahai Exco Pergerakan Wanita!!!

Thursday, October 16, 2008

Omar Osman - RM, RM, dan RM

Presiden Cuepecs, Omar Osman mohon kerajaan pertimbangkan pembayaran COLA kepada kakitangan awam pada kadar yang telah diturunkan dari RM 500 kepada RM 300 kerana harga minyak telah turun.


Kalau kita ikuti berita-berita di dalam akhbar semenjak Omar Osman menjadi presiden Cuepecs ini, kita akan dapati hanya wang sahaja yang menjadi keutamaannya. Dari naik gaji, bonus, bayaran lebihmasa, elaun, COLA, cuti tambahan dan macam-macam lagi. Tak ada perkara lain cuma fasal pembayaran wang oleh kerajaan kepada kakitangan awam sahaja yang diutamakan.


Memang beliau memperjuangkan kebajikan kakitangan awam yang lain tetapi beliau tidak seharusnya berfikir tentang wang sahaja. Amat jarang beliau bercakap tentang prestasi kakitangan, peningkatan produktiviti, kesanggupan berkorban masa dan tenaga demi negara. Gaji, elaun dan segalanya mahu naik tetapi produktiviti tak pernah meningkat malahan menurun.Pada beliau mereka harus menerima sahaja tanpa memberi. Bayangkanlah nasib para pekerja swasta dan yang berkerja sendiri. Mana ada naik gaji.


Saya simpulkan di sini, kalau Omar Osman itu, maknanya wang. Di dahi beliau dah terpancar tanda RM sahaja.

Tuesday, October 14, 2008

Perbahasan Bajet 2009

Anwar Ibrahim dalam persidangan Parlimen semalam telah meminta kerajaan menarik balik pembentangan Bajet 2009 dan membuat kajian semula mengambilkira keadaan semasa ekonomi global tetapi ditolak oleh Timbalan Speaker.

Apa yang susah sangat sampai nak suruh kerajaan buat pindaan. Perkara ini tidak akan selesai kerana dalam masa perbahasan ini dengan pindaan-pindaan yang dibuat (jika kerajaan setuju), keadaan ekonomi global berkemungkinan akan berubah lagi. Jadi ini tidak akan ada kesudahan.

Kalau Anwar begitu yakin mampu menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada bila-bila masa, kenapa perlu minta kerajaan BN menarik balik pembentangan bajet 2009? Tubuh saja karajaan Pakatan Rakyat dan bentangkan di Parlimen bajet 2009 mengikut acuan dan kehendak mereka.

Jangan buang masa orang lain. Kalau benar mampu, teruskan!!. Jangan cakap saja macam tin kosong!!!

Saturday, July 19, 2008

Datuk, Dato dan Dato-Dato

Tahniah kepada Dato Nicol David atas pengurniaan pingat yang diterima baru-baru ini.

Sekarang ini telah menjadi trend setiap kerajaan negeri mahu pun pusat, berebut-rebut untuk memberi anugerah Dato kepada mereka yang telah berjasa kepada negara/negeri. Dalam keghairahan mereka itu, mereka lupa menilai tahap sumbangan dan kriteria-kriteria lain yang saya rasa harus dinilai sebelum meluluskan pemberian tersebut.

Antara faktor yang saya rasa harus diberi pertimbangan adalah umur calon dan tahap sumbangan mereka kepada negera/negeri. Saya tidak menyalahkan Nicol dalam hal ini. Sebaliknya Kerajaan Negeri yang sepatutnya peka. Apa salahnya kalau Nicol dikurniakan pingat yang lebih rendah dahulu yang tidak membawa gelaran Dato? Mungkin selepas persaraan beliau, barulah kurniaan Dato diberi. Bukankah molek seseorang Dato itu, umurnya agak dewasa dan matang.

Bayangkanlah nanti, wakil-wakil negara ke Olimpik atau mana-mana pertandingan terdiri dari Dato Nicol David, Dato Ong Beng Hee, Dato Azlan, Dato Lee Chong Wei, Dato Hafiz Hashim, Dato Chong Tan Fook, Dato Lee Wan Wah, Dato Shalin Zulkifli, Dato Lai Kin Ngoh dan lain-lain lagi.

Kesemua jurulatih mereka pula berpangkat Dato dan pengurus pasukan pun berpangkat Dato.

Bayangkanlah, itu belum lagi kita sebut tentang artis hiburan tanahair.

Thursday, July 3, 2008

Melor Oh Melor

Apa sudah jadi kes di DUN Melor? Sijil nikah beliau bersama isteri kedua diragui kesahihannya oleh Mahkamah Rendah Syariah Kota Baru. Sijil tersebut dikatakan dikeluarkan okeh Pejabat Agama Wilayah Persekutuan tetapi setelah disemak mahkamah dapati tiada rekod pernikahan tersebut disimpan oleh pejabat agama berkenaan. Kesannya, urusan permohonan cerai oleh isteri kedua tidak dapat diputuskan oleh mahkamah kerana tiada asas untuk meneruskan perbicaraan.



Seseorang wakil rakyat harus menunjukkan contoh yang baik dan mengikut segala lunas undang-undang negara. Adakah pernikahan ketiga beliau mempunyai sijil yang sah atau sama seperti pernikahan kedua? Seorang hamba Allah di Trengganu sanggup memohon kebenaran mahkamah untuk bernikah kali ke empat dan Alhamdulillah telah beroleh kelulusan.



Apa salahnya buat segalanya ikut peraturan? Pihak berwajib harus membuat siasatan atas perkara ini.

Monday, June 30, 2008

Serah Kuasa

Ong Ka Ting dan Chan Kong Choy telah pun mengumumkan tidak mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan presiden MCA. Keputusan dibuat atas kesedaran bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk parti tersebut dalam pilihanraya yang lalu. Lim Kheng Yek dah lama lepas jawatan pada Koh Soo Khoon.

MIC masih tertunggu-tunggu bila masanya Samy Vellu nak umum pengunduran diri. UMNO bagaimana pula?

Liwat lagi????

Muncul lagi isu liwat melibatkan Anwar Ibrahim. Benar atau salah dakwaan yang dibuat, hanya Anwar, pengadu dan Allah SWT yang mengetahuinya. Pihak-pihak lain sekadar memberi komen menafikan atau membuat tuduhan-tuduhan kospirasi dan sebagainya. Banyak gambar-gambar pengadu bersama menteri-menteri dan ahli poltik kanan Barisan Nasional diedarkan bagi menimbulkan keraguan terhadap tuduhan dan mengiakan ujudnya teori konspirasi bagi menjatuhkan Anwar Ibrahim.



Apakah Anwar Ibrahim seorang manusia yang bebas dari membuat kesalahan? Bebas dari sebarang dosa? Tiada siapa yang tahu. Terlalu cepat pihak-pihak tertentu membuat teori konspirasi dan menuduh pihak-pihak lain terlibat mengaibkan Anwar. Sudah tentu orang yang dituduh akan segera menafikan segala tuduhan.



Kita jangan bertindak melulu. Biarlah perkara ini disiasat oleh polis dan menjalani proses undang-undang negara. Apa yang saya khuatir akan timbul dari keputusan siasatan polis sekiranya tidak menyebelahi Anwar adalah kedegilan pemimpin-pemimpin pembangkang serta penyokong Anwar untuk menerima hakikat bahawa Anwar juga seorang manusia seperti kita dan tidak lari dari membuat kesalahan.



Amat sukar untuk mereka menerima perkara yang bercanggah dengan kehendak mereka. Tetapi mudah menerima perkara yang selari dengan kehendak mereka walaupun tiada bukti kukuh dan hanya berdasarkan andaian serta cakap-cakap seperti tulisan-tulisan RPK tentang kes Altantuya.



Akhir kata, bertenang dan serahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat. Jika tuduhan itu palsu, Alhamdulillah. Jika siasatan mendapati sebaliknya, terimalah apa jua proses undang-undang negara.



Wassalam.